Pelbagai pintu neraka siap 'menelan' bakal penghuni Dipetik daripada Berita Minggu, 21 September 2008
Selepas didatangi Malaikat Jibril, Rasulullah saw kelihatan begitu sedih hingga menitiskan air mata.
Tiada siapa pun tahu mengapa baginda menangis, dan tiada siapa berani bertanya kepadanya.
Akhirnya, para sahabat memutuskan memanggil puterinya, iaitu, Fatimah supaya menemui baginda.
Abdul Rahman bin 'Auf ke rumah Fatimah memberitahunya: "Saya meninggalkan Rasulullah yang sedang menangis kerana sedih. Saya tidak tahu, entah apa yang dikatakan Malaikat Jibril kepada baginda hingga baginda menangis. Cubalah anda tanyakan kepada ayah anda itu."
Fatimah setuju.
Ketika menemui ayahnya, Fatimah bertanya punca ayahnya menangis.
Rasulullah berkata: "Puteriku sayang. Bagaimanalah ayah tidak menangis. Tahukah kamu bahawa telah turun ayat yang berbunyi begini: 'Sesungguhnya neraka jahanam tempat bagi mereka semua.'
"Ayah... ceritakanlah kepadaku tentang pintu neraka itu," rayu Fatimah.
Rasulullah berkata: "Pintu paling mudah terdiri daripada 70,000 gunung neraka. Setiap gunung ada 70,000 lembah neraka. "Setiap lembah pula mengandungi 70 juta neraka kecil. Dalam neraka kecil itu pula terdapat satu juta kota yang masing-masing mempunya 70 juta istana api. "Setiap istana terdapat satu juta daerah berapi. Setiap daerah berapi itu mempunyai 70 juta rumah api yang setiap satu mempunyai 70 juta peti api. "Dan setiap peti itu pula mempunyai pelbagai macam seksaan yang berbeza-beza penerimanya," kata Rasulullah.
Fatimah terlalu sedih mendengar cerita ayahnya. Dia menundukkan kepalanya dan berkata: "Alangkah celakanya orang yang masuk neraka."
Saidina Umar Al-Khattab, yang mendengar kata-kata Rasulullah kepada puterinya, kemudian berkata: "Jika aku seekor kambing milik saudaraku, lalu mereka menyembelihku dan memakan dagingnya, maka aku tidak akan mendengar ancaman neraka yang mengerikan itu."
"Jika aku seekor burung, maka tentu sekali aku tidak akan diadili dan diseksa, dan aku tidak mendengar atau tahu ancaman neraka itu," kata Saidina Abu Bakar pula.
Saidina Ali bin Abu Thalib pula menambah: "Andainya ibu tidak melahirkan aku, andainya aku mati ketika bayi dan mayatku dimakan binatang, maka aku pun tidak akan mendengar ancaman neraka yang sangat menakutkan itu."
Salman Al-Farsi pula, ketika menuju ke Makam Baqi', meraung-raung sambil berkata: "Wahai perjalanan yang jauh... bekalanku begitu sedikit untuk menuju akhirat."
Bilal, ketika mendengar raungan Salman, bertanya: "Wahai Salman, kenapa kamu meraung dan sedih?"
"Bilal, alangkah mengerikan apabila kita masuk neraka. Celakalah aku dan kamu Bilal. "Jika selama ini kita memakai pakaian yang baik dan cantik, tetapi apabila di neraka nanti, kita akan mengenakan pakaian dari percikan api. "Sekarang kita peluk isteri kita, tapi jika di neraka nanti, kita akan bergaul dengan syaitan dalam neraka. "Sungguh mengerikan Bilal. Nanti di neraka, jika kita ingin minum, air yang kita minum panas mendidih dan kita akan makan pohon-pohon berapi. "Semoga kita dilindungi Allah swt daripada semua kecelakaan itu," kata Salman.
Menitis air mata Bilal mendengar kata-kata Salman itu.